jump to navigation

LAPORAN PROGRAM RUMAH ANAK YATIM 2008 KUMPULAN C-G October 17, 2008

Posted by kelabpts in Infaq Ramadan, Kebajikan.
trackback

PENDAHULUAN

1.1 Tujuan

Tujuan laporan ini dikemukakan adalah untuk membentangkan secara terperinci mengenai aktiviti yang telah berlangsung pada 20 September 2008 yang lalu, iaitu Program Infaq Ramadan – Kumpulan C-G.

1.2 Pengenalan

Program Infaq Ramadan – Kumpulan C-G sudah berlangsung pada 20 September 2008 yang lalu bertempat di rumah anak-anak yatim Baitul Saidati Khadijah dan Pondok Raudhah.  Program kebajikan itu dikelola oleh Kumpulan C-G, melalui Kelab Sukan Kumpulan PTS Sdn. Bhd. Program Infaq Ramadan berlangsung selama sehari iaitu dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang berlandaskan kepada objektif:

    • 1.2.1 Menyumbang wang tunai bagi kegunaan perbelanjaan harian rumah anak yatim.

    • 1.2.2 Menyumbang peralatan elektrik bagi meringankan tugas-tugas harian di rumah anak yatim.

    • 1.2.3 Membina hubungan berterusan antara Kumpulan PTS dengan penghuni rumah kebajikan menerusi khidmat bakti dalam kebajikan.

Program ini telah berlangsung dengan jayanya, melibatkan tenaga kerja seramai 11 orang yang terdiri daripada ahli-ahli Kumpulan C-G.

BAHAGIAN 2

PERSIAPAN AWAL

2.1 Perancangan dan Perbincangan

Persiapan awal dimulakan sebelum program dijalankan, seperti pembahagian tugas-tugas dan ahli jawatankuasa program.

Kumpulan C-G sepakat memilih dua buah rumah anak-anak yatim bagi program ini. Berberapa nama dicadangkan dan fokus utama pemilihan rumah kebajikan adalah rumah-rumah tepencil dan kurang mendapat liputan/bantuan daripada pihak-pihak luar.

Setelah kajian dibuat, dua buah rumah dipilih oleh Kumpulan C-G iaitu rumah anak-anak yatim Baitul Saidati Khadijah, beralamat di No. 32R, Lot 346 Batu 8 ¾ Jalan Pahang Lama, 53100 Gombak, Selangor dan Pondok Penyayang Raudhah beralamat di Batu 11 Gombak, 53100 Selangor.

Ahli jawatankuasa turut ditubuhkan bagi memudahkan perjalanan majlis. Berikut adalah formasi ahli jawatankuasa bagi program itu:

Penyelaras Program: Encik Faris Hasbullah

Penolong:  Puan Norhazizam Ab Rahman

Bendahari:  Cik Faraliza Zainal Abidin

Skuad Peninjau:  Encik Aizat Abdul Razak

Encik Roslan Isa

AJK Pembelian: Cik Siti Nor Fadilah Salleh

Cik Mazroha

AJK Aktiviti:  Cik Haryani Kamilan

Cik Husnidatul Nur Hussain

Jurukamera:  Encik Mohamad Aswadi Hassan

AJK Tugas-tugas Khas: Seluruh ahli Kumpulan C-G

2.2 Tinjauan Awal

Skuad peninjau melakukan tinjauan di kedua-dua buah rumah pada 10 September 2008 dan melaporkan:

2.2.1 Rumah Baitul Saidati Khadijah

Bilangan penghuni: 12 lelaki, 22 perempuan

Hasil tinjauan mendapati Baitul Saidati Khadijah memerlukan bantuan    kewangan bagi tujuan perbelanjaan harian sekolah anak-anak iaitu sebanyak   RM 2.00 sehari (sekolah rendah) dan RM 2.50 sehari (sekolah menengah).   Selain perbelanjaan sekolah, mereka turut memerlukan wang bagi    perbelanjaan bahan mentah seperti ikan, ayam dan sayuran. Stok barang   dapur seperti beras, gula dan tepung sudah mencukupi (terlalu banyak).

2.2.2 Pondok Penyayang Raudhah

Bilangan penghuni: 85 orang (terdiri daripada anak yatim dan remaja    bermasalah)

Hasil tinjauan mendapati Pondok Penyayang Raudhah memerlukan peralatan   bagi kegunaan memasak dan kegunaan harian. Stol barang dapur juga    banyak.

2.3 Perancangan Kewangan

Jumlah sumbangan wang infaq adalah sebanyak RM 3000.00 dan Kumpulan C-G sepakat membahagikan wang itu kepada berberapa bahagian seperti berikut:

    • Bil Butiran Jumlah (RM)
      1 Sumbangan wang tunai 1340.00
      2 Bahan mentah 240.00
      3 Alat tulis 250.00
      4 Barang peribadi 120.00
      5 Lain-lain 1350.00
      Jumlah 3300.00

Kumpulan C-G berhasrat menyumbangkan sebuah mesin basuh bagi Pondok Penyayang Raudhah. Encik Arief Hakim Sani, bermurah hati menyumbangkan wang tunai sebanyak RM 300.00 bagi menambah jumlah sumbangan Kumpulan C-G.

Sebuah lampiran kerja turut dibuka supaya setiap ahli kumpulan dapat menyatakan cadangan barang-barang yang akan disumbangkan kepada kedua-dua buah rumah. Tujuan lampiran kerja ini dibuat adalah bagi membuat perbandingan harga antara kedai-kedai selain menyenaraikan barang-barang keperluan yang diperlukan oleh rumah anak yatim.

2.4 Perancangan Belian

Melalui lampiran kerja, AJK pembelian membuat perbandingan harga di berberapa pasar raya seperti Tesco, Carrefour, NSK dan Mydin. Pembelian barangan dilakukan secara berperingkat bermula pada 17 September 2008.


2.5 Perancangan Aktiviti

Antara aktiviti yang dicadangkan adalah majlis ramah mesra bersama anak-anak yatim. Selain daripada itu, AJK Aktiviti turut merancang aktiviti permainan dan teka-teki bersama anak-anak yatim. Kumpulan C-G menyediakan hadiah berbentuk buku bagi pemenang.

2.6 Modus Operandi

Kumpulan C-G akan bergerak dalam satu rombongan pada 20 September 2008. Setiap ahli kumpulan dikehendaki berkumpul di pejabat editorial, Wangsa Melawati tepat jam 9.30 pagi bagi sesi penyusunan dan pembungkusan barang-barang infaq. Dari pejabat editorial, Kumpulan C-G akan bergerak ke Baitul Saidati Khadijah dan seterusnya ke Pondok Penyayang Raudhah.


BAHAGIAN 3

PERJALANAN MAJLIS

3.1 Aturcara Majlis

Program infaq bermula jam 12.30 tengah hari apabila Kumpulan C-G tiba di perkarangan Baitul Saidati Khadijah. Ahli kumpulan bekerjasama mengangkat barang-barang sumbangan ke beranda rumah itu sebelum aktiviti dimulakan.

Selesai aktiviti di Baitul Saidati Khadijah, Kumpulan C-G kemudiannya bergerak ke Pondok Penyayang Raudhah dalam jam 1.20 tengah hari bagi menyempurnakan program kedua. Gerak kerja program dibahagikan kepada dua bahagian (mengikut rumah).

3.2 Program di Baitul Saidati Khadijah

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada dua pengacara majlis tengah hari itu iaitu Cik Haryani Kamilan dan Encik Roslan Isa. Pengacara majlis menjelaskan tujuan dan hajat Kumpulan C-G hadir ke Baitul Saidati Khadijah dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan.

Sesi berjalan lancar dan diteruskan dengan aktiviti teka teki. Terpancar keceriaan di wajah anak-anak kecil Baitul Saidati Khadijah dengan gelagat teman-teman serumah dan aksi lucu ahli Kumpulan PTS.

Walaupun pada ketika itu masing-masing berpuasa, sorakan dan teriakan adik-adik di Baitul Siti Khadijah masih tetap bersemangat. Semangat mereka semakin berkobar-kobar apabila pengacara majlis mengumumkan hadiah buat pemenang teka-teki.

Setelah selesai memberi teka-teki, giliran pihak kami pula diarahkan menjawab teka-teki. Sesi menjadi gamat seketika apabila ada di antara anak-anak di Baitul Saidati Khadijah membocorkan soalan kepada kakak-kakak Kumpulan C-G.

Secara kesimpulannya, majlis yang dianjurkan sangat meriah dan penuh keriangan. Itulah tujuan kami selain daripada menderma; kami turut mahu menceriakan suasana di rumah anak yatim.

Setelah sesi aktiviti selesai, sesi penyampaian duit raya dilakukan, diikuti sesi bergambar beramai-ramai.

3.3 Pondok Penyayang Raudhah

Selesai program di Baitul Saidati Khadijah, ahli Kumpulan C-G bergerak ke Pondok Penyayang Raudhah. Ketika kami sampai, penghuni Pondok Penyayang Raudhah baru hendak menunaikan solat Zuhur secara berjemaah.

Selesai solat Zuhur kami mendengar tazkirah penuh bersemangat daripada Ustaz Mokhtaruddin, pengasas Pondok Penyayang Raudhah. Selesai tazkirah kami dipersilakan ke pondok aktiviti.

Seperti di Baitul Saidati Khadijah, program dimulakan dengan salam perkenalan daripada wakil Kumpulan C-G iaitu Encik Roslan dan Cik Haryani Kamilan. Dengan lagak ceria dan santai, program dimulakan dengan aktiviti ringan iaitu lakonan.

Rata-rata yang hadir adalah penghuni lelaki dan pada awalnya mereka kelihatan malu-malu apabila diminta beraksi di hadapan. Tetapi, ia segera ditutup dengan keramahan ahli Kumpulan C-G yang turut sama menggalakkan adik-adik di Pondok Raudhah.

Mereka semakin bersemangat ketika kami menguar-uarkan hadiah yang bakal dimenangi apabila mereka berjaya melakonkan watak. Masing-masing kelihatan teruja untuk melakonkan watak yang diberikan.

Sesi berjalan lancar dan diteruskan dengan aktiviti teka teki. Mengambil konsep sama yang diguna pakai di Baitul Saidati Khadijah, aktiviti teka-teki dijalankan penuh kegembiraan.

Selesai acara teka-teki, majlis diteruskan dengan acara pembahagian duit raya dan sumbangan infaq Kumpulan C-G. Penghuni Pondok Raudhah diarah beratur dalam dua barisan sambil diawasi kakitangan Pondok Raudhah.

Walau bagaimanapun, barangan elektrik yang ingin disumbangkan hanya dapat dihantar pada sebelah petang.

Majlis berakhir dengan sesi fotografi beramai-ramai. Sebagai penutup, kedua-dua majlis yang dianjurkan tamat dengan jayanya. Kumpulan C-G juga turut merasai kegembiraan ketika berada di kedua-dua rumah (Baitul Saidati Khadijah dan Pondok Penyayang Raudhah). Semoga dengan segala usaha yang dilakukan mendapat barakah daripada Yang Maha Esa.

Disediakan oleh:

SITI NOR FADILAH SALLEH

Disahkan oleh:

FARIS HASBULLAH

Penyelaras Program Infaq Ramadan

Kumpulan C-G

Comments»

No comments yet — be the first.